KHALID, AZMIN REBUT KERUSI MB SELANGOR
Kuala Lumpur: Jawatan Menteri Besar Selangor kini menjadi rebutan antara ahli PKR yang mahukan Timbalan Presiden parti, Mohamed Azmin Ali manakala DAP dan PAS menyokong Abdul Khalid Ibrahim untuk terus menerajui negeri itu bagi penggal kedua. »
Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Borhan Aman Shah, berkata berdasarkan jawatan dalam parti, Azmin adalah pemimpin kanan dibandingkan dengan Khalid yang hanya ahli Majlis Pimpinan Pusat.
“Kita akui kepemimpinan tertinggi pakatan pembangkang akan membuat keputusan berhubung pemilihan Menteri Besar Selangor, bagaimanapun dari segi hierarki parti, amat jelas Azmin pemimpin paling kanan selain memegang jawatan penting dalam PKR.
“Malah, kita percaya sekiranya tidak berlaku pertindihan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara dan DUN Semenyih pada Pilihan Raya Umum Ke-13, PKR mampu memenangi lebih banyak kerusi di Selangor,” kata Borhan yang juga Ketua Cabang PKR Sepang ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR, di Petaling Jaya semalam.
Pada PRU-13, PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi DUN manakala PKR 14 kerusi sekali gus menjadi peluang terbaik kepada PAS untuk menerajui Selangor.
No comments:
Post a Comment