search

Monday, May 13, 2013

Posisi Labuhan & Memancing

image

A : Bersemuka Dengan Cenuram - sasaran utama ialah cenuram terumbu
yang dihentam arus. Untuk menyampaikan umpan, sauh dilabuh jauh ke laut
terbuka dan biar bot merapati terumbu, kemudian lepaskan umpan ke belakang.


B : Menggempur Terumbu - untuk menggempur pusat terumbu, arus yang
perlahan diperlukan dan sauh perlu dilabuhkan berdekatan terumbu. Dari posisi
ini, kita boleh menyampaikan umpan terus ke puncak terumbu.

C : Berhanyut Ke Kawasan Serpihan - dengan melabuh sauh di muka
terumbu, umpan dapat dihanyutkan ke belakang sampai ke kawasan taburan
serpihan terumbu.

 

Sekarang kita lihat Gambarajah tentang posisi yang sesuai untuk melabuhkan bot bagi
menggempur terumbu. Tiga posisi berbeza iaitu :

A, B dan C ini dipilih bagi memancing pada keadaan tertentu, dan untuk mensasarkan
spesies ikan yang tertentu.

Bagaimanapun ianya bukanlah semudah melabuh terus sauh, kemudian menggugurkan umpan. Kita perlu memperhalusi kedudukan bot kita, dan di mana dan bagaimana kita persembahkan umpan atau gewang yang akan membuahkan perbezaan ketara dan konsisten terhadap hasil keputusan.

1. Posisi Bot A

Posisi bot ini tampak terkeluar dari terumbu. Bagaimanapun, ia banyak kelebihan. Dari pandangan atas, arus utama menerjah tebing terumbu yang bercenuram. Pada masa
tertentu, sesetengah spesies seperti aji-aji, G.T, ibu gelama, kerapu pisang, tenggiri, aya dan banyak lagi suka memburu di cenuram itu. Tiada kaedah lain untuk menyampaikan
umpan, selain memposisikan bot anda seperti yang digambarkan.
Bot mesti diposisi di depan arus supaya umpan dan tali dapat dihanyutkan sampai ke
cenuram. Namun ini bergantung kepada kekuatan arus, saiz umpan yang digunakan, saiz
ladung dan diameter atau berat tali. Jika anda ingin mengapung atau menghanyutkan umpan
ke muka terumbu itu, anda perlu berlabuh lebih jauh, berbanding jika anda ingin menjatuhkan umpan yang lebih berat.

2. Posisi Bot B

Objektif posisi ini ialah menjatuhkan sauh agak jauh dari terumbu utama dan membiarkan bot bergerak ke belakang supaya umpan, gewang atau jig dapat dipersembahkan ke puncak, pusat terumbu atau ke dalam rekahan-rekahan di bawah terumbu.
Namun kekuatan arus, saiz umpan, gewang dan ladung akan menentukan posisi mana
yang diperlukan oleh bot, agar ia dapat menerjah tepat ke atas terumbu.
Kebanyakan pemancing suka memancing dari posisi ini, kerana boleh melihat sonarnya yang meyakinkan mereka berada betul-betul di atas terumbu. Di perairan tropika, subtropika atau sederhana, posisi ini boleh membuahkan hasil yang sangat produktif.
Spesies seperti jenahak, merah, ketarap, jemuduk, ebek, aya, tenggiri, kerapu pisang,
ibu gelama, aji-aji dan banyak lagi selalunya berlegar di puncak terumbu, rekahan atau
parit di dasarnya.

3. Posisi Bot C

Pada posisi ini, sasaran kita ialah untuk menyampaikan umpan, terutama kaedah
apungan dan hanyutan umpan ke pecahan atau serpihan terumbu di belakang terumbu.
Untuk memancing kawasan ini dengan berkesan, kita perlu labuhkan sauh supaya sangkut di puncak terumbu dan biarkan bot tergantung sehingga ke belakang terumbu.
Jadi mudahlah umpan disampaikan ke kawasan serpihan itu.
Ikan jenis demersal seperti jenahak, kaci dan seumpamanya sukakan tempat sebegini.
Pancing secara apungan atau cara pancingan ringan boleh membawa keputusan yang menakjubkan. Bergantung kepada keadaan arus dan sejauh mana serpihan terumbu itu menganjur, pemancing tidak akan dihidangkan dengan paparan sistem terumbu utama pada
skrin sonarnya.


Dengan menduga terumbu kegemaran anda dari arah berlainan, anda boleh membina gambaran mental tentang bentuk dan anjuran setiap terumbu tersebut. Ini amat berguna untuk keberkesanan memancing di setiap terumbu - terutama apabila memancing di bahagian posisi bot A dan C tadi.

No comments:

Post a Comment