Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
090112 ……..
Tanggal esok 9 Januari 2012 ini, penghakiman kes Fitnah Liwat II akan termaktub dalam sejarah, samada sebagai detik penentuan keadilan ditegakkan ataupun hari gelap buat kedaulatan undang-undang dan kepada mereka yang perjuangkan keadilan.
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar membulatkan tekad serta iltizam dalam menuntut pembaharuan politik. Mereka boleh mengaibkan saya, mereka boleh menghumban saya ke penjara, mereka boleh menginjak hak rakyat dan mereka boleh memukul kita hanya kerana berkumpul, akan tetapi mereka takkan dapat merampas kehormatan diri, maruah serta semangat kita untuk melakukan apa yang benar dan memperjuangkan apa yang kita percaya.
Mengulangi fitnah keji sejak dari 1998 lagi terhadap diri saya dan sepanjang sandiwara perbicaraan yang panjang ini, pelbagai fitnah dan tohmahan telah dilemparkan, namun ianya tidak menghakis keyakinan rakyat.
Kita telah menyaksikan betapa polis, pihak pendakwaan dan kehakiman serta media yang dikawal UMNO berganding bahu memastikan agar kerajaan BN yang rasuah dan zalim ini terus berkuasa.
Walau apa pun jua penghakiman yang akan diputuskan nanti, ia harus tetap melonjakkan semangat dan keyakinan menuntut perubahan bagi menegakkan hukum, melaksanakan sistem ekonomi saksama dan memupuk semangat persaudaraan yang tulen. Usaha dan upaya mestilah digembeling demi membanteras kezaliman, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Pastikan pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti, kebangkitan rakyat akan menghumban penguasa angkuh dari tampuk pemerintahan.
Mereka mungkin berhasrat memenjara dan merantai saya tetapi mereka takkan sesekali dapat memasung jiwa dan semangat saya. Di sini saya mengulangi ikrar bahawa saya tidak akan berhenti selagi kita belum berjaya melaksanakan Perubahan dan menghapuskan segala kebejatan yang dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN dan membangunkan sebuah bangsa yang adil lagi saksama.
Berbekalkan semangat perjuangan yang murni serta bertawakal kepada Allah, Inshaallah, perjuangan kita akan mencapai kejayaan.
Saya akan tetap bersama anda semua di hati dan jiwa saya dan bersama-samalah kita bina sebuah negara Malaysia yang baharu.
ANWAR IBRAHIM
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=25300
No comments:
Post a Comment